Membesarkan anak di era yang serba moden ini bukan suatu tugas yang mudah. Apatah lagi cabaran dunia kini jauh berbeza daripada dulu. Anak-anak sekarang bukan sekadar terdedah kepada pengaruh rakan sebaya, malah juga media massa yang boleh diakses oleh sesiapa tanpa kira waktu.
Di sini kami rangkumkan 5 tips membesarkan anak-anak menurut acuan Islam.
1. Tidak memukul muka
Marah bagaimana kita sekalipun, jangan sesekali kita memukul bahagian muka anak-anak. Kerana ada tegahan itu di dalam agama kita.
Riwayat daripada Abu Hurairah anh, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka.
Riwayat Muslim (2612)
2. Memisahkan tempat tidur anak-anak
Sesuai dengan hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.
Hadis riwayat Abu Daud: (490)
Melalui petikan website pejabat mufti wilayah persekutuan:
Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib kepada bapa atau wali memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun sama ada anak-anak tersebut sesama jantina atau lelaki dan perempuan mahupun antara anak dan ibu atau bapanya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/34]
3. Menjadi pendengar yang setia
Kemelut kesihatan mental yang merisaukan kita kini tidak boleh diambil mudah. Jadilah pendengar setia buat anak-anak, walau sesibuk mana pun kita. Tanamkan dalam diri anak-anak kita bahawa. Kita ialah tempat selamat kepada mereka dalam meluahkan segala gundah gulana, kacau bilau yang mereka alami.
Suka untuk kami petik kaedah yang dinyatakan oleh salafus soleh:
Bermainlah dengan mereka selama tujuh tahun yang pertama, didiklah mereka pada tujuh tahun yang kedua, dan bersahabatlah dengan mereka pada tujuh tahun yang ketiga. Kemudian tinggalkan bagi mereka tali pada puncak bukit.
4. Rasulullah sebagai suri tauladan
Perdengarkan kisah-kisah nabi yang terdahulu, serta tunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Limpahkan hidup mereka dengan nilai-nilai murni kehidupan para nabi yang terdahulu.
Pasakkan dalam hati mereka, jika mereka mahu mencontohi keperibadian seseorang. Maka contohilah keperibadian Rasulullah. Sesuai dengan firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat 21
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
5. Cepat membaiki sikap buruk dalam diri anak
Perbaiki sikap buruk yang anak anda ada secepat dan sebaik mungkin. Jangan ia menular hingga menjadi tabiat yang sulit diubah. Sesuai dengan pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai contoh, anak suka buang sampah merata-rata. Tegur sikap anak itu, beritahu mereka perbuatan mereka itu salah dan berdosa. Jangan disebabkan hal yang kita rasa remeh seperti ini kita biarkan saja. Jadilah ibu-bapa yang bertangungjawab dengan memberi contoh suri tauladan yang baik.
Kesimpulan
Setiap ibu-bapa perlu peka akan perkembangan anak-anak kita. Ketika waktu mereka kecil inilah pendidikan itu penting. Sampai satu usia, kita sudah tidak mampu lagi mendidik mereka seperti sekarang. Malah mereka juga sudah mampu membuat keputusan sendiri di waktu itu. Maka gunakan waktu yang ada ini dengan sebaik mungkin, dalam usaha kita membentuk keluarga sakinah mawaddah warahmah










