Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ialah kelas pengajian Al-Quran dan Fardu Ain bermula tahun 1 hingga tahun 6 yang berdaftar dengan Agensi Pelaksana (Pihak Berkuasa Agama Negeri). Menggunapakai kurikulum, buku teks, peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan mengikut jadual atau waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Elaun Guru KAFA dibayar oleh Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM.
Objektif Program KAFA adalah untuk:
- Mewujudkan suatu sistem kelas pengajian al-Quran dan Fardu Ain yang kemas, seragam dan bersepadu di seluruh Malaysia.
- Memastikan kanak-kanak Islam yang berumur 7 tahun hingga 12 tahun di negara ini dapat mempelajari dan boleh menguasai bacaan al-Quran dengan baik.
- Memastikan kanak-kanak Islam di negara ini dapat mempelajari dan mengamalkan perkara-perkara asas fardu ain
- Memperkukuh asas pendidikan agama Islam untuk kanakkanak Islam dalam pendidikan al-Quran dan Fardu Ain.
Pelaksana
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah agensi pusat yang bertanggungjawab sebagai penyelaras Program KAFA di peringkat Persekutuan merangkumi aspek dasar, kurikulum, buku teks, kaedah pentaksiran, latihan, pembiayaan, pengurusan sumber manusia, pemantauan dan penyeliaan.
Manakala Program KAFA dilaksanakan di peringkat negeri melalui Pihak Berkuasa Agama Negeri selaku Agensi Pelaksana di negeri masing-masing berdasarkan Garis Panduan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikeluarkan oleh JAKIM.
Siapakah Murid KAFA?
Murid KAFA ialah kanak-kanak Islam yang berumur 7 tahun hingga 12 tahun, atau murid tahun satu hingga tahun enam Sekolah Kebangsaan.
Berapa Yuran KAFA?
Bergantung pada pihak sekolah dan program yang disediakan. Sebagai contoh Sekolah Rendah Islam At Tanzeel. Mengenakan yuran seperti berikut.
Cawangan Sri Kembangan
- Program A (KAFA sahaja) : RM200
- Program B (KAFA + Transit) : RM300
Cawangan Putra Perdana & Bandar Saujana Putra
- Program A (KAFA sahaja) : RM180
- Program B (KAFA + Transit) : RM280
*Makanan tengah hari disediakan buat pelajar Program B. Manakala Program A hanya kelas KAFA sahaja.
Kurikulum Dan Buku Teks Kafa
Program KAFA menggunakan Kurikulum dan Buku Teks KAFA JAKIM yang menekankan kemahiran amali bagi membimbing murid mengenai al-Quran dan melaksanakan ibadah khusus selain daripada penguasaan aspek keimanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.
Kurikulum ini memberi tumpuan kepada pendidikan asas Tilawah al-Quran, pembentukan akidah, bimbingan fardu ain, memupuk amalan fardu kifayah dan amalan adab yang berteraskan akhlak Islamiah yang mencakupi dari Tahun 1 hingga Tahun 6.
Terdapat lapan subjekdalam kurikulum KAFA iaitu:
(a) Al-Quran.
(b) Akidah.
(c) Ibadah.
(d) Sirah.
(e) Adab.
(f) Bahasa Arab.
(g) Jawi dan Khat.
(h) Tahfiz al-Quran.
Pentaksiran
Peperiksaan dan pengiktirafan KAFA dinilai melalui Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK). UPKK dilaksanakan bagi murid Tahun 5 KAFA dengan penilaian kepada lapan mata pelajaran. Keputusan UPKK telah dipersetujui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk diambil kira dalam penentuan kemasukan pelajar ke tingkatan satu di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Di peringkat negeri pula, keputusan UPKK turut diterima bagi kemasukan ke Sekolah Menengah Agama Negeri.
Kesimpulan
Program KAFA adalah merupakan program pengukuhan asas Pendidikan Islam bagi kanak-kanak berumur dari 7 tahun hingga 12 tahun. Program ini untuk memastikan mereka dapat menguasai bacaan al-Quran dengan baik, mempelajari dan mengamalkan perkara-perkara asas fardu ain dalam kehidupan di samping kurikulum Pendidikan Islam yang diikuti oleh murid di sekolah kebangsaan.










